Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JUMLAH HIDANGAN HARIAN UNTUK PENDUDUK GAZA MENURUN 70 PERATUS MINGGU INI – PBB

DUNIA

JUMLAH HIDANGAN HARIAN UNTUK PENDUDUK GAZA MENURUN 70 PERATUS MINGGU INI – PBB

“Jumlah hidangan harian di Semenanjung Gaza menurun daripada 840,000 minggu lepas kepada 260,000 minggu ini, iaitu penurunan sebanyak 70 peratus,” kata Stéphane Dujarric.

Kanak-kanak perempuan Palestin menikmati makanan yang masih panas daripada catuan yang disediakan di dapur amal yang didirikan di kampus Universiti Islam di Gaza City pada 12 Mei 2025. —AFP

NEW YORK: Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stéphane Dujarric berkata jumlah hidangan harian yang disediakan untuk orang awam di Semenanjung Gaza menurun sebanyak 70 peratus minggu ini berbanding minggu lepas, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Beliau menekankan kepentingan pasukan PBB memasuki Gaza bagi mengenal pasti keperluan rakyat secara langsung di lapangan.

“Jumlah hidangan harian di Semenanjung Gaza menurun daripada 840,000 minggu lepas kepada 260,000 minggu ini, iaitu penurunan sebanyak 70 peratus,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PBB di New York pada Selasa.

Dujarric menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan bukan sekadar makanan semata-mata.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menyediakan bekalan air bersih, penjagaan kesihatan, khidmat pemakanan, pendidikan dan perlindungan secara langsung kepada rakyat Palestin di Gaza.

Jurucakap PBB itu memberi amaran bahawa bekalan bahan api di kemudahan kesihatan dan air di Gaza semakin berkurangan, susulan sekatan ketat oleh Israel sejak Mac lepas.

“Penjagaan kesihatan di Gaza berada di ambang kehancuran, apabila hospital berdepan jumlah mangsa yang ramai dalam keadaan kekurangan bekalan asas, peralatan, darah serta tenaga kerja perubatan,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan bahawa sekatan terhadap akses segera kepada makanan dan bekalan penting di Gaza telah menyebabkan “lagi kematian dan situasi menghampiri kebuluran.”

WHO merujuk kepada analisis Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu (IPC) dikeluarkan pada Isnin, yang menyatakan bahawa 470,000 penduduk Gaza kini menghadapi “tahap kebuluran yang teramat kritikal (IPC Fasa 5)” dan seluruh populasi sedang mengalami krisis kekurangan makanan akut.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kira-kira 71,000 kanak-kanak dan lebih 17,000 ibu dijangka memerlukan rawatan segera akibat kekurangan zat makanan yang serius. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading