JUMLAH KOMPAUN KHAIRUDDIN DITETAPKAN PIHAK BERKUASA – DR. ADHAM BABA

KULAI: Jumlah kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata hukuman yang diberikan ke atas Mohd Khairuddin dibuat selepas pihaknya melihat dari pelbagai sudut terutama hukuman di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Kita tengok daripada pelbagai sudut. Yang penting ada aduan dan ada penguatkuasa yang dapat mengesan mana-mana pihak yang ingkar terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kompaun maksimum (di bawah Akta 342) RM1,000 sahaja,” katanya.

Adham berkata sekiranya ada pihak yang ingin membuat dakwaan lain terhadap Mohd Khairuddin perkara itu terpulang kepada mereka yang berkaitan.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin 10Gara Selamat di Dewan Raya Felda Bukit Besar di Kulai hari ini.

Adham mengulas kritikan orang awam terhadap kadar denda RM1,000 yang dikenakan terhadap Mohd Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus.

Mohd Khairuddin dikompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana gagal mematuhi peraturan mengikut Akta 342 iaitu menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari pulang dari Turki pada 7 Julai 2020. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply