LANJUT PKPP SELEPAS 31 OGOS – KKM

Kulai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon pertimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata lanjutan PKPP perlu kerana negara masih bergelut dengan peningkatan kes COVID-19.

“Untuk PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, pihak KKM telah membuat saranan kepada MKN dan pihak Perdana Menteri supaya PKPP dipertimbangkan untuk kita laksanakan sehingga keadaan lebih terkawal.

“Jadi terpulang kepada Perdana Menteri untuk umumkannya dalam masa terdekat,” kata Adham kepada media selepas Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin 10Gara Selamat di Dewan Raya Felda Bukit Besar di Kulai hari ini.

Menurut Adham juga ketika ini banyak negara lain masih bergelut dengan penularan COVID-19 masih berlaku peningkatan kes.

PKPP mula dilaksanakan kerajaan pada 10 Jun lalu dengan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat bagi menjalankan aktiviti harian dan ekonomi namun tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM. — AlHijrah Online

Leave a Reply