HULU TERENGGANU: Seorang jururawat yang dalam perjalanan menyertai program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus maut selepas motosikal ditungganinya hilang kawalan.
Nahas berlaku di Kilometer 394 Lebuhraya Pantai Timur dua, Bukit Besi-Ajil kira-kira jam 12 tengahari pada Jumaat.
Insiden itu menyebabkan mangsa Roslinawati Ramli, 33, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab berkata ketika kejadian mangsa dari Johor menghala ke Kuala Terengganu untuk menyertai program RXZ members dan bergerak secara konvoi dengan 13 buah motosikal lain.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian motosikal Yamaha RXZ yang ditungganinya telah hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.
“Susulan kejadian itu mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit forensik Hospital hulu terengganu untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta pengangkutan jalan 1987. — AlHijrah Online