KADAR KEBOLEHJANGKITAN NAIK SELEPAS LIMA MINGGU RENTAS NEGERI

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian Malaysia kepada 1.0 pada 11 November selepas lima minggu kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan Rt bukan disebabkan aktiviti rentas negeri.

Sebaliknya punca peningkatan jangkitan disebabkan aktiviti sosial yang melibatkan perhimpunan serta kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Bilangan Rt mengikut jangkitan harian pada 11 November 2021 juga meningkat kepada 1.0, selepas lima minggu kebenaran rentas negeri dibenarkan mulai 11 Oktober.

“Jika kita lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes dilihat dari minggu 5 dan 6, selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan pada 7 Disember 2020, apabila kita benarkan rentas negeri,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Noor Hisham mengingatkan orang ramai untuk kekal mematuhi SOP selain sentiasa berwaspada demi mengelak bilangan kes positif COVID-19 meningkat secara mendadak.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan akan mempergiat pemberian vaksin dos penggalak bagi mengelakkan peningkatan kes positif.

“Kita guna kaedah serampang dua mata; tingkatkan liputan vaksin yang tinggi dan kepatuhan kepada SOP,” katanya.

Hisham memaklumkan setakat ini jumlah kes jangkitan berada pada paras mendatar dan tidak menunjukkan penurunan, berbanding ketika nilai Rt 0.80 dengan bilangan kes ada menunjukkan penurunan.

“Sekarang mendatar, ini tanda-tanda awal kes akan melonjak naik, tetapi belum naik lagi.

“Jadi kita minta orang ramai patuh SOP. Rentas negeri tiada masalah, tetapi aktiviti berhimpun dan tidak mematuhi SOP itu yang menyebabkan penularan,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply