KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dalam membanteras isu ‘budak rempit’ yang berlaku di sekitar kawasan DUN beliau.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Mohd Noor turut meminta penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia dalam satu operasi bersepadu dilakukan bagi menangani isu rempit serta dadah.
“Perbincangan bersama Balai Polis Kandang dan penduduk sekitar berkenaan budak rempit baru nak up area Desa Duyong membawa ke Tebing Tinggi.
“Mat minta operasi bersepadu terus on. Libatkan sekali Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia. Ni sebab bebudak yang terlibat ada didapati isap ‘vape mushroom’,” katanya.
Mohd Noor turut meminta ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka untuk tidak terlibat dengan gejala tidak bermoral sebelum ditangkap pihak berkuasa.
“Mat dah janji pada Polis Kandang, kalau ada bebudak Duyong kena tangkap pasal ni, Mat takkan campur call minta ehsan,” tegasnya.
Semalam tular sebuah video memaparkan sekumpulan remaja yang berkumpul dan sengaja membuat bising dengan ‘membakar’ motor di hadapan rumah penduduk di kawasan Ayer Molek.–AlHijrah Online