KANAK-KANAK LELAKI DIREMPUH KETIKA MELINTAS

BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun patah tulang selangka selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas di Jalan Wakaf Aik, Bachok, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Mohammad Naufal Zafran Abdul Fattah yang turut cedera di badan kini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin, dalam kenyataan medianya pada hari ini berkata ketika kejadian sebuah kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Besut menghala ke Pengkalan Chepa.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang kanak-kanak lelaki melintas secara tiba-tiba dengan jarak dekat menyebabkan mangsa dilanggar.

Pada masa sama, pemandu Proton Exora yang cuba mengelak itu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah perodua myvi.

Disebabkan pelanggaran itu, kanak-kanak tersebut cedera di badan dan patah tulang selangka sebelum dikejarkan ke HUSM untuk rawatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati, semasa kejadian mangsa dipimpin tangan oleh bapanya di bahu jalan sebelum kanak-kanak itu merentap tanganya dan berlari melintas jalan.

Kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AlHijrah Online

Leave a Reply