Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KANAK-KANAK PEREMPUAN MAUT, USUS PECAH DIPERCAYAI DIDERA BAPA TIRI

DALAM NEGARA

KANAK-KANAK PEREMPUAN MAUT, USUS PECAH DIPERCAYAI DIDERA BAPA TIRI

Hasil bedah siasat dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah.

KAJANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai akibat didera bapa tiri di rumahnya dekat Taman Sri Ramal, di sini, kelmarin.

Kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Serdang dengan ambulans selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata ambulans membawa mangsa tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah HS kira-kira jam 11.33 malam kelmarin namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Katanya pihak polis menerima satu aduan berhubung kematian mangsa pada jam 12.39 tengah malam tadi daripada pihak hospital.

“Hasil bedah siasat dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah.

“Selain itu terdapat juga beberapa kesan lebam pada bahagian punggung, buah dada serta lengan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, bertindak atas maklumat diterima pihaknya menahan seorang lelaki, 53, yang juga bapa tiri mangsa di perkarangan hospital kira-kira jam 2.25 petang tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku ada memukul mangsa dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas rumah mereka.

“Suspek mendakwa dia bertindak sedemikian kerana marahkan mangsa yang dikatakan sering membuat masalah semasa ibunya tiada di rumah,” katanya.

Pihak polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh hubungi Pegawai Penyiasat ACP Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading