
HYDERABAD: Sebuah kapal kargo berbendera India karam di Laut Merah selepas diserang berhampiran perairan Yaman pada Selasa.
Bagaimanapun, kesemua 14 anak kapal termasuk 13 warga India yang berada di atas MSV Faize Noore Oliya berjaya diselamatkan oleh Pengawal Pantai Yaman sebelum dibawa ke Pelabuhan Mokha.
Menteri Perkapalan India, Sarbananda Sonowal berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pentadbiran Maritim (DGMA) mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan kru yang terlibat.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Pentadbiran Maritim (DGMA) supaya mengambil langkah segera dengan kerjasama semua agensi bagi memastikan keselamatan sepenuhnya pelaut India di rantau itu serta memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada kru yang diselamatkan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Kementerian Pengangkutan Yaman menyalahkan kumpulan Houthi atas serangan itu dan mendakwa sebuah bot sarat bahan letupan digunakan untuk menyerang kapal berkenaan di Laut Merah.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India mengecam insiden berkenaan dan menyifatkan serangan terhadap kapal komersial sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.
“Insiden serangan berterusan terhadap kapal komersial di rantau ini amat membimbangkan.
“Serangan yang menyasarkan kapal komersial mesti dihentikan, manakala kebebasan pelayaran dan perdagangan tanpa halangan melalui laluan air antarabangsa di rantau ini, selaras dengan undang-undang antarabangsa, perlu dipulihkan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu. — AlHijrah Online