Connect with us

ALHIJRAH NEWS

INDONESIA PADAM LIMA JUTA AKAUN TIKTOK, ROBLOX DAN META KANAK-KANAK

DUNIA

INDONESIA PADAM LIMA JUTA AKAUN TIKTOK, ROBLOX DAN META KANAK-KANAK

Indonesia memadam kira-kira lima juta akaun pengguna bawah umur di pelbagai platform digital sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak menerusi peraturan baharu tadbir urus sistem elektronik.

JAKARTA: Indonesia telah memadam kira-kira lima juta akaun milik pengguna bawah umur daripada pelbagai platform digital susulan pelaksanaan Peraturan Kerajaan mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik bagi Perlindungan Kanak-Kanak.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid berkata tindakan itu dilaksanakan hasil kerjasama dengan pelbagai platform digital bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian.

“Bersama-sama platform berkenaan, kami telah memadam lima juta akaun kanak-kanak. Walaupun lima juta pengguna masih kecil berbanding sasaran kami, pada peringkat global pencapaian ini mengatasi apa yang dilakukan TikTok di Australia,” katanya pada Selasa, menurut Agensi Berita Antara.

Beliau berkata Indonesia memilih pendekatan berasaskan risiko berbanding larangan umur secara menyeluruh seperti yang dilaksanakan di Australia.

Di bawah pendekatan itu, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun dilarang mengakses platform digital yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

Peraturan yang dikenali sebagai PP Tunas itu bertujuan menggalakkan syarikat teknologi mereka bentuk semula perkhidmatan untuk pasaran Indonesia bagi menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak.

Sebagai contoh, platform permainan Roblox telah menyahaktifkan fungsi sembang secara lalai bagi pengguna Indonesia berusia bawah 16 tahun, melainkan dengan persetujuan ibu bapa.

“Kami berharap pada masa akan datang, langkah ini bukan sekadar melarang kanak-kanak daripada membuka akaun, tetapi menjadi gerakan lebih luas yang menggalakkan platform melakukan perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, Meutya mengakui pelaksanaan peraturan itu masih berdepan cabaran terutama dalam aspek pengesahan umur kerana banyak syarikat teknologi belum menggunakan kaedah lebih canggih seperti algoritma anggaran umur, pengesahan wajah atau analisis tingkah laku.

Setakat ini, kementerian telah menilai 200 platform yang dikendalikan oleh 79 Penyedia Sistem Elektronik, dengan lapan platform mengklasifikasikan perkhidmatan mereka sebagai berisiko tinggi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading