KEMALANGAN BABITKAN LIMA RENTUNG: PEMANDU TRELER DIJANGKA DIDAKWA SELASA

Sumber Gambar: BERNAMA

IPOH: Kertas siasatan terhadap pemandu treler yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan sehingga mengorbankan lima nyawa di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan yang membabitkan pemandu treler berusia 28 tahun itu.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada pagi Selasa dan jika tiada apa-apa masalah, kita akan buat pertuduhan di mahkamah pada sebelah petang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga akan memohon lanjutan tempoh reman ke atas lelaki berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan pemandu treler yang ditahan reman selama empat hari itu didapati mempunyai 22 saman trafik, dan daripada jumlah itu 21 saman telah dibayar, termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu dengan laju.

Lima maut akibat rentung dalam kemalangan itu merupakan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang juga rakan serumah.–AlHijrah Online

Leave a Reply