KEPUTUSAN SPM 2019 PETUNJUK KEBERKESANAN SISTEM PENDIDIKAN – MUHYIDDIN

Last Updated on

PUTRAJAYA, 5 Mac — Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 menunjukkan bahawa banyak inisiatif yang dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) telah menampakkan hasil, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian yang secara keseluruhannya lebih baik berbanding tahun 2018 memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. 

“Dalam hal ini, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Keputusan SPM 2019 adalah antara bukti usaha dan kesungguhan KPM dalam memberikan pendidikan terbaik untuk semua,” katanya.

Menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian semua calon SPM 2019, Muhyiddin berkata Gred Purata Nasional (GPN) kali ini adalah 4.86, kurang 0.03 daripada 4.89 bagi tahun 2018, dengan angka lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

Menurutnya, peratus calon yang layak menerima sijil SPM turut meningkat, selain 860 daripada 1,402 Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan itu layak dianugerahkan sijil SPM. 

“Keputusan ini sudah semestinya membanggakan seluruh ahli keluarga, guru-guru dan masyarakat. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak,” katanya.

Muhyiddin berkata dorongan ahli keluarga memainkan peranan penting bagi melonjakkan prestasi murid, selain kesungguhan dan kegigihan guru-guru mendidik murid. 

“Terima kasih cikgu. Tanpa pengorbanan guru, pencapaian cemerlang dan memberangsangkan ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Perdana Menteri turut meluahkan harapan agar mereka yang kurang berjaya tidak berputus asa dengan keputusan hari ini. 

“Saya percaya jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, insya-Allah kejayaan pasti dapat dikecapi,” katanya. 

Bagi yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang pula, Muhyiddin berkata beliau berharap mereka terus bekerja keras demi masa depan agar dapat menabur bakti kepada negara, bangsa dan agama. — BERNAMA

Leave a Reply