KES ROGOL: MAHKAMAH ARAH ADUN TRONOH BELA DIRI

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hari ini diarah membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Di dalam hujahan penghakimannya, Abdul Wahab berkata, elemen pertama yang dibuktikan adalah berlakunya penetrasi dan tertuduh melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa selain keterangan itu adalah konsisten dengan soalan balas peguam.

Pertuduhan ke atas Paul Yong, 51 tahun dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 28 September lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu berlangsung bermula pada 5 April lalu.

Mengikut pertuduhan, Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan. AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply