REMAJA 14 TAHUN DITAHAN TERLIBAT KEGIATAN PECAH KEDAI

KUBANG PASU: Remaja berusia 14 tahun antara empat anggota kumpulan ‘Geng Man Muncung’ yang ditahan selepas dipercayai terlibat 10 siri kes pecah kedai di sekitar daerah Kubang Pasu sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mereka ditahan Khamis lalu selepas pihaknya menerima laporan berkaitan kes pecah kedai di Air Hitam pada awal pagi hari sama.

Katanya, modus operandi yang dilakukan kumpulan itu adalah dengan menyewa kereta untuk melakukan kegiatan pecah kedai dan bergerak pada sekitar waktu tengah malam dan awal pagi.

“Modus operandi kumpulan ini ialah dengan mencabut fius elektrik kamera litar tertutup (CCTV) di luar kedai tersebut untuk mengelakkan perbuatan mereka daripada dirakam kemudian mereka masuk melalui pintu ataupun tingkap yang telah diumpil di kedai tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Ketika tangkapan dilakukan, pihaknya turut merampas sepasang sarung tangan, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah kereta perodua Myvi kelabu yang dipercayai disewa untuk melakukan kegiatan itu.

Pemeriksaan di rumah salah seorang suspek juga turut menemui sebatang besi kuku kambing, sebatang pemotong besi dan pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah kedai.

Hasil semakan mendapati pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Kubang Pasu itu tidak memiliki rekod jenayah.

Tiga lagi yang ditahan pula mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

Kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply