PAHANG BERI RM200 UNTUK BAYI LAHIR TAHUN 2022

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang akan memberi saguhati berjumlah RM200 kepada bayi yang lahir di negeri ini pada tahun 2022.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, saguhati tersebut diperuntukkan kerajaan negeri sebanyak RM5 juta di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid).

Menurutnya, bayaran tersebut akan dibuat dalam bentuk simpanan bank RM100 manakala RM100 lagi berupa barangan keperluan bayi dan ibu sewaktu berpantang.

“Jumlah peruntukan itu diambil kira berdasarkan data Jabatan Perangkaan bagi kelahiran bayi di negeri Pahang seramai 25,279 pada 2020,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2022 pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini, Isnin.

Wan Rosdy berkata, saguhati tersebut akan diberikan untuk setiap kelahiran bagi membantu ibu bapa yang baru menerima cahaya mata mengharungi cabaran terutama dari sudut ekonomi dalam membesarkan anak mereka.

“Di samping meraikan kegembiraan mereka, ia juga sebagai tanda anak yang dilahirkan itu anak kebanggaan negeri Pahang,” katanya.

—AlHijrah Online

Leave a Reply