KESATUAN ULAMA SEDUNIA RUJUKAN ANTARABANGSA DALAM MAQASID SYARIAH: MUJAHID

Last Updated on

4

PUTRAJAYA: Malaysia sedia menjadikan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) Prof Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni sebagai rujukan antarabangsa dalam melaksanakan pentadbiran berteraskan Maqasid Syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata selain pemikiran yang jelas tentang kehidupan hari ini, ulama dari Maghribi itu layak dipilih berdasarkan banyak buku yang dihasilkannya menjurus kepada soal Maqasid Syariah.

“Atas faktor itu, saya rasa agensi pentadbiran Islam perlu mengambil peluang mendengar pandangan serta pendapat beliau secara akademik mengenai Maqasid Syariah.

“Saya ucap terima kasih kepada UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) kerana baru-baru ini melantik beliau sebagai Profesor Pelawat, bermakna setahun sekali beliau akan datang ke Malaysia, membolehkan kita menjadikannya rujukan antarabangsa dalam melaksanakan konsep Maqasid Syariah dalam pentadbiran hari ini,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program diskusi Maqasid Syariah Bersama Ketua Kesatuan Ulama Dunia Prof Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) malam semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Mujahid berkata pemikiran Maqasid Syariah yang dibawa tokoh itu juga selari dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diangkat sebagai dasar dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.

Beliau berkata ulama itu juga menekankan kepada pentingnya mengutamakan kemaslahatan masyarakat dalam melaksanakan sesuatu pentadbiran atau undang-undang dan perkara itu adalah seiring dengan apa yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Mujahid berkata dalam konteks undang-undang Islam, tokoh itu juga menekankan tentang kepentingan meletakkan kemaslahatan dan maqasid lebih tinggi dari sekadar hukum fikah dalam langkah atau keputusan yang diambil.

Ini satu yang sangat penting dalam kerangka kita menjadikan Mahkamah Syariah lebih berwibawa dalam menggunakan maqasid sebagai landasan berfikir dan kaedah menghukum, katanya. — BERNAMA

Leave a Reply