KKM SEDANG SIASAT DUA KENAMAAN DIKAITKAN KES COVID-19

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat mengenai maklumat yang tular di media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dikaitkan dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-26 Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu sedang disiasat KKM dan tindakan sedang diambil mengenainya.

“Untuk makluman, kes ke-26 yang dilaporkan pada 1 Mac sedang dirawat dan dipantau di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil. 

“Lima kontak rapat keluarga, seorang pembantu khas kepada kes ke-26 dan seorang kakitangan kesihatan swasta telah disahkan negatif COVID-19. Siasatan dan pengesanan kontak rapat masih terus dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang bekas menteri dan timbalan menteri dipercayai kontak rapat dengan kes ke-26 positif COVID-19 dan berhubung langsung dengan orang lain termasuk petugas media, sehingga mencetuskan kekhuatiran dan kemungkinan mereka perlu melakukan saringan kesihatan. 

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata orang ramai diingatkan tidak menularkan berita-berita mengenai kes jangkitan COVID-19 yang tidak disahkan oleh KKM bagi mengelakkan situasi panik dan salah faham dalam masyarakat. 

“KKM juga ingin menegaskan bahawa siasatan ke atas kes positif COVID-19 serta pengesanan kontak dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Garispanduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.04/2020,” katanya.

Beliau menjelaskan kontak rapat adalah mereka yang berhubung rapat dengan kes yang disahkan positif COVID-19. Ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes positif COVID-19 seperti anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang disarankan atau mereka yang tinggal dalam satu rumah sama.

Hanya mereka dalam kategori kontak rapat kes positif sahaja yang akan disaring dan diambil sampel bagi ujian pengesanan jangkitan COVID-19, katanya.

“Individu yang mempunyai kontak dengan mereka yang sekadar disyaki dijangkiti COVID19 dan belum disahkan melalui ujian makmal bukan dikategorikan sebagai kontak dan tidak diambil sampel,” tegas beliau.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun atau dengan menggunakan cecair pembasmi kuman. — BERNAMA

Leave a Reply