
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 1,573,872 tempat duduk bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) untuk tempoh Januari hingga Mac 2027, meningkat 39 peratus berbanding tempoh sama tahun ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jualan tiket bagi kedua-dua perkhidmatan itu akan dibuka secara berperingkat mulai 2 November bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal khususnya menjelang cuti persekolahan, cuti umum dan musim perayaan.
Jualan tiket bagi perjalanan Januari hingga Februari 2027 akan dibuka pada jam 12 tengah hari, 2 November manakala tiket untuk perjalanan sepanjang Mac 2027 mula dijual pada 1 Disember ini.
Daripada keseluruhan 1,573,872 tempat duduk yang ditawarkan, sebanyak 1,520,592 diperuntukkan bagi ETS manakala 53,280 lagi untuk ERT.
“Jumlah itu mengatasi penawaran 1,131,500 tempat duduk bagi tempoh sama pada 2026, sekali gus menjadi penawaran tertinggi pernah disediakan KTMB bagi tiga bulan pertama tahun hadapan.
“Peningkatan kapasiti ini mencerminkan usaha berterusan KTMB dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan bagi memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan rel,” menurut kenyataan itu.
Seiring peningkatan kapasiti, jumlah penumpang ETS diunjurkan meningkat 6.5 peratus kepada 6.28 juta orang pada 2027 berbanding unjuran 5.9 juta orang tahun ini.
KTMB turut akan menambah kekerapan perkhidmatan ETS pada 2027 daripada 44 perkhidmatan berjadual sehari kepada 50 perkhidmatan sehari dari Isnin hingga Khamis dan 58 perkhidmatan sehari dari Jumaat hingga Ahad.
Pertambahan sehingga 14 perkhidmatan berjadual sehari itu turut melibatkan laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral dengan kekerapan ditingkatkan daripada lapan kepada 12 perkhidmatan sehari.
Langkah itu dijangka menyediakan lebih banyak pilihan jadual perjalanan kepada penumpang khususnya pada hujung minggu dan musim puncak.
Selain itu, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan perkhidmatan ETS bagi memperluas akses pengangkutan rel serta menyediakan pilihan stesen alternatif.
Langkah itu juga bertujuan membantu mengurangkan tumpuan di KL Sentral ketika waktu puncak dan musim perjalanan sibuk.
Dalam perkembangan berkaitan, KTMB akan menyusun semula jadual perjalanan ETS jarak jauh mulai 1 Januari 2027 melibatkan beberapa laluan yang menghubungkan sektor utara dan selatan.
“Menerusi penyusunan semula ini, perjalanan terus menggunakan tren yang sama bagi laluan JB Sentral-Butterworth, JB Sentral-Padang Besar serta Butterworth-Segamat dan perjalanan arah sebaliknya tidak lagi ditawarkan.
“Penumpang bagi laluan berkenaan perlu membuat pertukaran tren di KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Ketika ini, pembelian tiket bagi perjalanan ETS jarak jauh yang memerlukan pertukaran tren di KL Sentral perlu dibuat menerusi dua transaksi berasingan mengikut sektor perjalanan.
Bagaimanapun, KTMB sedang menambah baik sistem tempahan bagi membolehkan pembelian tiket secara bersepadu melalui satu transaksi mulai Disember ini.
Penumpang dinasihatkan menyemak jadual perjalanan serta memastikan tempoh pertukaran tren yang mencukupi di KL Sentral sebelum membuat tempahan bagi mengelakkan kesulitan sepanjang perjalanan.
Orang ramai turut digalakkan mendapatkan tiket lebih awal melalui aplikasi KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB serta menyemak jadual perjalanan terkini khususnya bagi perjalanan jarak jauh yang memerlukan pertukaran tren. — AlHijrah Online