Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PELARIAN MYANMAR AKAN TETAP DIHANTAR PULANG – SAIFUDDIN NASUTION

DALAM NEGARA

PELARIAN MYANMAR AKAN TETAP DIHANTAR PULANG – SAIFUDDIN NASUTION

Lebih 10,000 warga Myanmar telah dihantar pulang dan kerajaan menegaskan proses itu akan tetap diteruskan selagi tiada keputusan mahkamah yang menghalangnya dengan rundingan bersama kerajaan Myanmar diteruskan melalui saluran diplomatik dan undang-undang.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan usaha penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal mengikut saluran undang-undang dan proses diplomatik yang sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu diteruskan selaras dengan keputusan mahkamah yang menolak permohonan penangguhan dikemukakan Badan Peguam Malaysia.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi membolehkan penghantaran pulang kumpulan kedua dilaksanakan selagi tiada keputusan sebaliknya daripada mahkamah.

“Jadi biar jalur undang-undang yang membuat keputusan. Sehingga ada keputusan sebaliknya, kita teruskan (penghantaran pulang).

“Buat masa sekarang permintaan untuk penangguhan oleh Majlis Peguam ditolak, jadi kita teruskan. Semakan kehakiman itu ditetapkan pada 8 Dis ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi KDN, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk menghentikan sementara penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian dan pencari suaka warga Myanmar.

Permohonan itu ditolak atas alasan penangguhan tidak boleh dibenarkan sebelum kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman diberikan.

Hakim Norliza Othman bagaimanapun berkata, penolakan itu tidak menjejaskan hak Badan Peguam untuk memperbaharui permohonan selepas mahkamah memutuskan sama ada mahu memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung kehadiran pelarian Myanmar dan menyerahkan sepenuhnya urusan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, walaupun kehadiran pelarian berkenaan menimbulkan pelbagai isu sosioekonomi dalam komuniti tertentu, masyarakat tidak seharusnya bertindak keterlaluan sehingga melanggar undang-undang.

“Kedatangan mereka memberikan masalah ekonomi, politik dan sosial dalam komuniti tertentu sehingga mengundang segelintir masyarakat kita mengambil tindakan sendiri seperti menyerang kediaman mereka atau menghalau dari kampung.

“Pihak polis menjalankan tanggungjawab dan meminta agar jangan ambil tindakan undang-undang di tangan sendiri. Serahkan kepada pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan imigresen yang sentiasa menjalankan operasi berterusan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memilih pendekatan diplomasi dengan Myanmar bagi menangani isu pelarian dari negara itu meskipun berdepan kecaman dan kritikan antarabangsa.

Hasil perbincangan dengan pihak berkuasa Myanmar, negara itu bersetuju membawa pulang sebahagian rakyatnya yang berada di Malaysia dengan kos pengangkutan ditanggung sendiri termasuk menggunakan pesawat dan kapal.

Setakat ini, kira-kira 10,300 warga Myanmar telah dihantar pulang manakala 3,000 lagi dijangka melalui proses penghantaran pulang pada bulan ini. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top