Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LELAKI PANDU MPV ‘BOMBA’ SECARA MELULU ADALAH PENGHIDAP BIPOLAR SEJAK SEMBILAN TAHUN LALU

DALAM NEGARA

LELAKI PANDU MPV ‘BOMBA’ SECARA MELULU ADALAH PENGHIDAP BIPOLAR SEJAK SEMBILAN TAHUN LALU

Lelaki yang tular memandu MPV merah bertulis “Bomba” secara melulu dikenal pasti menghidap gangguan bipolar dan kini ditempatkan di Hospital Sungai Petani untuk rawatan serta pemantauan lanjut.

SUNGAI PETANI: Lelaki yang tular di media sosial selepas memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merah tertera tulisan “Bomba” secara melulu dikenal pasti menghidap gangguan bipolar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai mengalami gangguan berkenaan sejak sembilan tahun lalu namun menangguhkan rawatan kira-kira dua tahun lalu.

“Polis menerima laporan berkaitan kejadian pada Selasa lepas dan menahan lelaki itu di Bandar Puteri Jaya serta merampas sebuah kenderaan milik lelaki itu dan beberapa barang kes,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Menurut Hanyan, lelaki terbabit mempunyai lesen memandu yang sah, tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan didapati negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Lelaki itu direman sehari dan kini ditempatkan di wad Hospital Sungai Petani untuk rawatan serta pemantauan lanjut sepanjang proses siasatan,” katanya.

Hanyan turut menasihatkan keluarga yang mempunyai ahli dengan sejarah rawatan psikiatri supaya memastikan mereka mematuhi jadual pemeriksaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, rakaman video memaparkan lelaki terbabit memandu secara melulu tanpa menghiraukan pergerakan trafik lain tular di media sosial.

Video berkenaan mencetuskan kekeliruan orang ramai apabila kenderaan itu dilihat seakan-akan sedang menjalankan tugas kecemasan selain pemandunya turun dari kenderaan dan memarahi pengguna jalan raya yang tidak memberikan laluan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top