KWSP SEDANG PERINCI KAEDAH TERBAIK CARUMAN SEBAGAI SOKONGAN PINJAMAN

Gambar ARKIB. Sumber BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan membuat pinjaman peribadi daripada bank.

KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua faktor yang relevan akan dipertimbang bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang,” jelas KWSP.

Semalam, kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun kaedah itu hanyalah bagi mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.

Ujarnya, ia merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang memandangkan ketika ini banyak negara yang memberikan kelonggaran seperti pengeluaran dana persaraan telah menghentikan atau membatalkan kemudahan itu.—AlHijrah Online

Leave a Reply