LELAKI PARAH DITETAK KAPAK AKIBAT CEMBURU

KOTA KINABALU: Gara-gara cemburu, seorang lelaki cedera parah akibat ditetak dengan sebilah kapak berhampiran Menara Kinabalu, Rabu lalu.

Kejadian sekitar jam 9.00 malam itu melibatkan mangsa berusia 37 tahun dan suspek merupakan bekas suami kekasih mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa bersama kekasihnya berusia 30 tahun diserang oleh tiga lelaki termasuk bekas suami kekasihnya menggunakan sebilah kapak.

“Mangsa ditetak menggunakan sebilah kapak dalam kereta berulang kali oleh bekas suami kekasihnya sehingga cedera di muka, tangan dan kaki.

“Mangsa bersama kekasihnya berjaya melarikan diri daripada kawasan itu lalu menuju ke Balai Polis Alam Mesra, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dirawat di Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala kekasihnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, pihak polis sedang mengesan tiga lelaki yang dikenali sebagai Winhal Jalali, 37 dan Abdel Jalali, 27 serta seorang lagi yang belum dikenal pasti untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan motif serangan dipercayai akibat cemburu.

Polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau individu yang dikehendaki untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Khaidir Zakaria atas talian 014-8019618.–AlHijrah Online

Leave a Reply