MADAD SALUR BANTUAN PENDIDIKAN DI LUBNAN, HARAP PELARIAN DAPAT UBAH MASA DEPAN

KUALA LUMPUR: Perjuangan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) dalam pembangunan ummah tidak tertumpu di dalam negara sahaja, malah organisasi itu turut prihatin dengan nasib umat Islam di luar negara dan menyalurkan bantuan pendidikan untuk pelarian Syria di Lubnan.

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, terbaru MADAD telah menyediakan sebuah sekolah di Lubnan yang memberi manfaat kira-kira 1,000 pelajar.

“Disebabkan masalah kewangan di Lubnan, banyak sekolah-sekolah di negara itu telah ditutup. Jadi kanak-kanak pelarian ini termasuk kanak-kanak Lubnan sendiri tiada tempat untuk mereka belajar.

“Sebagai sebuah organisasi yang mempunyai matlamat memartabatkan pendidikan ummah, kami perlu memberikan reaksi dan bantuan terhadap perkara itu.

“Bantuan pendidikan ini penting kerana jika kita hanya salurkan bantuan kewangan ia akan memberikan mereka kegembiraan sementara, tetapi dengan bantuan pendidikan pelajar dapat manfaat berpanjangan dan mungkin boleh mengubah nasib negara mereka sendiri,” katanya ketika ditemu bual secara langsung dalam Berita Alhijrah baru-baru ini.

Mohammad Yaakub dan pasukannya pada minggu lalu telah berlepas ke Lubnan bagi Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Untukmu Syira anjuran Serantau Muslim.

Selain bantuan pendidikan, misi itu turut menyalurkan bantuan pek makanan serta pakaian musim sejuk untuk pelarian di Lubnan yang akan berdepan cuaca sejuk tidak lama lagi.

Kata Mohammad Yaakub, bantuan kepada pelarian Syria di Lubnan tidak boleh dilaksanakan secara bermusim dan mereka perlu terus dibantu kerana masalah kewangan di Lubnan dan krisis peperangan di Syria membataskan bantuan daripada kedua-dua negara itu kepada pelarian.

Selain usaha memartabatkan ummah di luar negara, MADAD turut sedang membangunkan Murtadha Dakwah Centre iaitu sebuah pusat komuniti Islam yang dilengkapi masjid, rumah warga emas, pusat tahfiz integrasi, kapsul hotel, stadium e-sports, hub sukan sunah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma.

Untuk mereka yang mahu mengejar saham akhirat dengan bersama-sama menjayakan penubuhan Murtadha Dakwah Centre, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5980 7117 atas nama Murtadha Dakwah Centre, atau boleh klik link http://www.madadcentre.com serta boleh juga hubungi nombor hotline 014-601 9090 atau 014- 601 9494.– AlHijrah Online

Leave a Reply