MAIWP SANTUNI “FROGMAN”, LIHAT KEPERLUAN DAN BANTUAN SESUAI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kiri) menziarahi penerima sumbangan Saniah Taib, 54, (kanan) bersama anaknya Siti Nurhashikin Johari, 24, yang dilahirkan Orang Kurang Upaya (OKU) dan mempunyai pelbagai komplikasi penyakit pada Program Ziarah. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR:  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Program Ziarah Asnaf menyantuni Mohamad Salman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Frogman bagi melihat keperluan dan bantuan yang bersesuaian.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang mengetuai ziarah itu semalam turut menyampaikan sumbangan bakul rezeki dan wang tunai RM1,000 kepada Mohamad Salman, 23, yang mencari rezeki dengan memakai kostum katak.

Mohd Na’im turut memberikan penerangan kepada keluarga pemuda itu bagi memastikan bantuan daripada MAIWP dapat disalurkan dengan berkesan.

Selain itu, bantuan lain juga ditawarkan kepada Mohamad Salman antaranya kerusi roda baharu, sewaan rumah, bantuan bulanan dan perubatan bagi menampung kos rawatan kakaknya yang diuji dengan pelbagai komplikasi kesihatan antaranya sakit saraf, jantung dan katarak.  

“Salman, bapanya Johari, ibu dan kakaknya pernah disantuni oleh MAIWP sebanyak lima kali, dan turut diberi bantuan…saya juga pesan kepada Salman, insya-Allah bila dah dapat bantuan bulanan dan bantuan sewaan itu dia boleh simpan duit pendapatannya sebagai Frogman,” kata Mohd Na’im.

Sementara itu, Mohd Salman berkata dia berhenti sekolah seawal usia lapan tahun demi membantu menyara keluarga terutama kakak, Siti Nur Hashikin Johari, 24, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dengan komplikasi kesihatan.

 Mengenakan kostum katak di sekitar kawasan SOGO Kuala Lumpur, katanya pendapatan yang diperoleh tidak menentu bergantung kepada sumbangan orang ramai dan keadaan cuaca.

Justeru, dia menyambut baik inisiatif yang dilakukan MAIWP untuk turun padang bagi menyantuninya dan keluarga.  

“Saya bersyukur dan gembira menteri datang rumah melihat keadaan kami sekeluarga dan mereka pun ada beri sedikit sumbangan untuk ringankan beban kami ,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Chow Kit di sini.

Sebelum ini, Mohd Na’im dilaporkan berkata Program Ziarah Asnaf akan dijadikan sebagai rutin setiap bulan sebagai platform untuk mendekati asnaf dengan lebih rapat. —AlHijrah Online

Leave a Reply