MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN ANTARABANGSA KE-63 BUKA TIRAI MALAM INI

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini 19 Ogos 2023 hingga 24 Ogos 2023, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 bagi tahun 2023.

Program bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani itu akan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTCKL).

Majlis Perasmian dan Pembukaan MTHQA Ke-63 yang diadakan pada 8.45 malam ini (19 Ogos), akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam majlis malam nanti, peserta dan hakim pertandingan MTHQA Ke-63 akan turut diperkenalkan.

Tahun ini MTHQA akan melibatkan seramai 76 orang peserta keseluruhan dari 52 buah negara.

Sejumlah 36 orang darinya adalah peserta tilawah dengan 24 lelaki dan 12 perempuan, manakala peserta hafazan pula seramai 40 orang iaitu 27 lelaki dan 13 perempuan.

Malaysia akan diwakili Muhammad Qayyim Nizar Sarimi bagi kategori tilawah lelaki dan Nor Hidayah Abd Rahman untuk kategori tilawah wanita.

Peserta hafazan lelaki negara pula ialah Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dan peserta hafazan wanita Malaysia ialah Dian Karisma Mohd Japar.

Seluruh rakyat Malaysia dijemput beramai-ramai untuk menyaksikan MTHQA Ke-63 di WTCKL pada 19 hingga 24 Ogos 2023 bagi memeriahkan lagi majlis gilang gemilang ini.

Orang ramai juga boleh menyaksikan MTHQA Ke-63 menerusi siaran langsung di saluran RTM1 dan TV AlHijrah.

Selain itu, para penonton juga boleh mengikuti secara langsung MTHQA Ke-63 melalui saluran media sosial rasmi JAKIM seperti TV JAKIM, Facebook dan Tiktok JAKIM, Radio IKIM, Radio Nasional FM. — AlHijrah Online

Leave a Reply