MANIFESTO BN BUKAN GULA-GULA KEPADA RAKYAT – MOHAMAD

Gambar fail. Sumber BERNAMA

SEREMBAN: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan gula-gula kepada rakyat tetapi merupakan perancangan dan daya usaha untuk memajukan Malaysia, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Calon BN di kerusi Parlimen Rembau itu berkata pembentukan kerajaan bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main tetapi perkara yang perlu diambil serius bagi memenuhi keperluan rakyat dan pelaksanaan urus tadbir sesebuah kerajaan.

“Kita bukan kerajaan budak-budak… menguruskan negara perlu serius dan praktikal. Kita dah lama mentadbir dulu dan mempunyai pengalaman jadi kita tahu dari aspek mana yang perlu diberi perhatian.

“Usaha kita untuk mengukuhkan kepercayaan terhadap kerajaan supaya rakyat berasa selesa dengan kerajaan yang mantap dan stabil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini mengulas manifesto BN yang diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Manifesto yang menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) itu merupakan tawaran baharu yang segar atau a new and fresh deal daripada BN kepada rakyat Malaysia, yang mengandungi 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.–AlHijrah Online

Leave a Reply