MOHD KHAIRUDDIN MOHON MAAF, PULANGKAN GAJI

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akur dengan kesalahannya sehingga dikompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memohon maaf kepada seluruh rakyat negara ini.

Katanya, sebagai menteri beliau bertanggungjawab untuk patuh kepada peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah KKM.

“Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana keputusan kabinet sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambahnya beliau akan terus bekerja keras dan melipatgandakan usaha serta tenaga untuk melaksanakan amanah sebagai menteri bagi membela rakyat terutama pekebun kecil kategori B40. — AlHijrah Online

Leave a Reply