PELEKAT TULISAN CINA: TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK CUBA EKSPLOITASIKAN ISU BAHASA

BUKIT MERAH: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja mengeksploitasikan isu bahasa untuk mencetuskan ketegangan kaum.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang mencetuskan provokasi dan melanggar perundangan negara bagi tujuan itu.

Tegas Hamzah, dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, ideologi politik tidak seharusnya menjadi senjata untuk mencetuskan sentimen perkauman.

“Janganlah disebabkan ada ideologi satu dua parti yang hanya ada kepentingan idealogi masing-masing menyebabkan kita berpecah.

“Dia nak ada kan ideologi dia tu semata-mata kerana nak menyakinkan beberapa kumpulan sahaja, bahawa dia berani, dia merupakan kumpulan yang boleh memperjuangkan nasib minoriti,” katanya.

Ujar Hamzah, isu bahasa tidak sepatutnya timbul kerana sudah termaktub dalam perlembagaan negara yang sudah 63 tahun merdeka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Pemilihan Bahagian Bersatu Larut di Bukit Merah Lake Town Resort hari ini.

Hamzah mengulas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak yang menampal pelekat dalam tulisan Cina di beberapa buah papan tanda jalan di sekitar Bandar Raya Kuching, Khamis lalu.

DAPSY memberikan alasan nama jalan di bandar raya itu perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China. — AlHijrah Online

Leave a Reply