MUFTI WILAYAH DOAKAN PITT HANIFF TERMASUK DALAM GOLONGAN SYAHID AKHIRAT

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri mendoakan pengarah filem, Pitt Haniff atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohammad Haniff yang ditemui mati lemas di Kuala Lipis, Sabtu lalu, termasuk dalam golongan syahid akhirat.

Zulkifli berkata demikian dalam laman Facebooknya hari ini turut mendoakan Allahyarham diangkat tinggi darjatnya dalam syurga.

“Saya membaca laporan akhbar berkenaan pemergian Mohd Firdaus dengan penuh dukacita.

”Apa yang berlaku, telah pun berlalu. Saya berharap dan mendoakan semoga kematian Almarhum Mohd Firdaus termasuk dalam ketentuan syahid akhirat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” Riwayat Bukhari (653),” katanya.

Beliau turut mendoakan ibu Allahyarham, Fauziah Nawi dan keluarganya tabah menghadapi ujian itu.

“Kami juga mendoakan anda sekeluarga supaya terus kuat menghadapi dugaan kehilangan insan yang tersayang. Kita yakin, banyak hikmah-Nya atas setiap musibah yang diberikan oleh-Nya.

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada Almarhum Mohd Firdaus. Semoga rohnya dicucuri rahmat, mendapat syahid akhirat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya.

Allahyarham dilaporkan hilang di Sungai Jelai, Kuala Lipis, Pahang apabila bot yang dinaiki bersama seorang rakan terbalik setelah berlanggar dengan tiang jambatan Gemunchur.

Jenazah Allayarham ditemui pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian pada 4.25 petang Ahad dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur pada jam 2 pagi tadi. — AlHijrah Online

Leave a Reply