Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

NETANYAHU, BUKAN AS BUAT KEPUTUSAN SERANG QATAR – TRUMP

DUNIA

NETANYAHU, BUKAN AS BUAT KEPUTUSAN SERANG QATAR – TRUMP

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata serangan Israel ke atas Qatar adalah keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bukannya Washington, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sumber: AFP

WASHINGTON/ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata serangan Israel ke atas Qatar adalah keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bukannya Washington, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Netanyahu, ia bukan keputusan saya,” tulis Trump di platform media sosial milik beliau, Truth Social.

“Saya segera mengarahkan Utusan Khas AS Steve Witkoff memaklumkan kepada pihak Qatar mengenai serangan yang bakal berlaku dan beliau berbuat demikian. Namun, malangnya terlalu lewat untuk menghentikan serangan itu,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Luar Qatar menafikan dakwaan Rumah Putih bahawa negara Teluk itu dimaklumkan lebih awal mengenai serangan Israel, sambil menegaskan komunikasi daripada seorang pegawai AS hanya diterima ketika letupan sedang berlaku.

Trump berkata beliau bercakap dengan Netanyahu selepas serangan itu, dan pemimpin Israel itu memberitahunya bahawa beliau mahu “mencapai perdamaian.”

Trump turut memaklumkan bahawa beliau menghubungi Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani untuk memberi jaminan bahawa insiden serupa tidak akan berulang di bumi Qatar.

“Pengeboman secara unilateral di dalam Qatar, sebuah negara berdaulat dan sekutu rapat Amerika Syarikat yang sedang bekerja keras serta berani mengambil risiko bersama kita untuk mengusahakan keamanan, tidak memajukan matlamat Israel atau Amerika,” tulis Trump, mengulangi kenyataan jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt dalam satu sidang media.

Trump berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Negara Marco Rubio memuktamadkan perjanjian kerjasama pertahanan dengan Qatar.

Kemudian pada hari yang sama, ketika bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri jamuan makan malam bersama anggota Kabinet di Washington, DC, Trump berkata beliau tidak begitu “gembira dengan keseluruhan situasi itu.”

“Ia bukan situasi yang baik, tetapi saya ingin katakan ini: kami mahu tawanan dikembalikan, namun kami tidak gembira dengan cara perkara itu berlaku hari ini,” katanya.

Qatar mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa” serta ancaman kepada kedaulatan dan keselamatannya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading