KUALA LUMPUR – Cukai ke atas produk minuman bergula diharap dapat
mengubah tabiat pengguna untuk memilih minuman kurang manis sekali gus
mengurangkan beban kerajaan bagi merawat masalah obesiti dan penyakit berkaitan,
kata Kementerian Kewangan ketika menjawab soalan lazim mengenai pengenaan cukai
berkenaan, hari ini.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga pertama
bagi masalah berat badan dan obesiti dan kerajaan terpaksa membelanjakan RM4 bilion
hingga RM8 bilion untuk merawat masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit
dari 2010 sehingga 2016, katanya lagi.
Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menunjukkan
prevalen masalah berat badan dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun dan
ke atas di Malaysia adalah 47.7% dengan 30% berlebihan berat badan manakala
17.7% adalah obes.
Jumlah penghidap penyakit kencing manis pula semakin meningkat kepada 17.5%
atau 3.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, berbanding 11.6% pada
2006.
Namun benarkah tindakan mengenakan cukai ini mampu mengurangkan masalah
obesiti? Ini kerana punca obesiti itu sendiri adalah pelbagai. Selain berkait
dengan kualiti makanan yang tidak baik seperti tinggi lemak dan kalori, obesiti
juga berpunca dari gaya hidup yang tidak aktif, tidak cukup tidur, genetik dan
proses penuaan.
Walaupun Kementerian berkata cukai ke atas minuman bergula berjaya
menunjukkan penurunan permintaan dan pengambilan minuman manis bergula,
sebagaimana yang dibuktikan oleh 38 buah negara yang telah melaksanakan cukai
ini, tetapi suatu langkah yang lebih holistik sewajarnya didahulukan untuk
menangani masalah ini.
Dalam keadaan negara yang menghadapi masalah ekonomi, rakyat terpaksa
bersaing untuk hidup dan kekal relevan dengan pekerjaan mereka. Dalam
persaingan ini, mereka terpaksa melupakan kesihatan mereka, di mana terdapat
pekerja yang terpaksa bekerja lebih masa, tidak menghiraukan makan minum dan
kesihatan diri.
Terperuk berbelas jam di ruang kerja, makan di meja daripada menu yang dipesan secara atas talian, dan kemudiannya pulang ke rumah hanya untuk tidur, sempatkah mereka menjalani hidup aktif? Itu tidak dikira pekerja yang terpaksa bekerja secara shif. Tidur pada waktu siang tidak sama kualitinya dengan tidur pada waktu malam yang bersifat fitrah kejadian.
Apabila sistem kehidupan sejahtera dicerobohi oleh sistem kerja yang tidak
mesra berlaku, maka masalah obesiti ini tidak akan dapat dibanteras dengan
hanya mengenakan cukai. Lebih tepat, cukai ini hanya bermanfaat untuk menambah
pendapatan kerajaan.