
Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA
KUALA KANGSAR: Orang ramai diminta untuk tidak hilang kepercayaan terhadap majlis agama Islam negeri-negeri susulan isu penyelewengan dana zakat yang tular kebelakangan ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, siasatan sedang dijalankan dan masyarakat diminta memberi ruang kepada pihak berautoriti untuk menyelesaikan siasatan secara menyeluruh.
Menurutnya, institusi zakat negeri tidak terlibat dalam sebarang salah laku, sebaliknya kejadian yang berlaku dipercayai melibatkan pihak ketiga yang menyalahgunakan dana tersebut.
“Percayalah bahawa majlis agama Islam negeri-negeri yang diberi kepercayaan untuk kutipan zakat tidak terlibat dalam situasi ini.
“Apa yang berlaku adalah di peringkat pihak ketiga yang mungkin menyalahgunakan atau tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Santuni Komuniti MADANI bersempena Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan Semarak, SMK Tun Perak, di sini, hari ini.
Sirajuddin turut menegaskan bahawa agensi agama di peringkat negeri melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat mengikut prosedur serta kriteria yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak hilang keyakinan terhadap institusi zakat negeri kerana ia masih berfungsi dengan baik dan berintegriti.
Mengulas isu pembayaran zakat di luar negeri, beliau berkata perkara itu telah diputuskan melalui Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan diperkenankan Majlis Raja-Raja.
“Amil yang dilantik hanya berkuasa dalam negeri masing-masing. Mengutip zakat di luar negeri adalah satu kesalahan,” jelasnya.
Tambah beliau, ejen kutipan yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri juga tertakluk kepada bidang kuasa negeri dan tidak boleh beroperasi merentasi sempadan tanpa kebenaran.–AlHijrah Online