Connect with us

ALHIJRAH NEWS

AYAM DIRENJAT HINGGA MATI, PREMIS DI PUCHONG DIPERCAYAI SEMBELIH BANGKAI

DALAM NEGARA

AYAM DIRENJAT HINGGA MATI, PREMIS DI PUCHONG DIPERCAYAI SEMBELIH BANGKAI

Premis di Puchong yang dipercayai beroperasi lebih 20 tahun disiasat selepas ayam didakwa direnjat hingga mati sebelum disembelih sekali gus menimbulkan dakwaan berlaku penyembelihan bangkai.

SHAH ALAM: Sebuah premis di Puchong yang dipercayai menjadi lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah diarahkan tutup selama dua minggu selepas siasatan awal mendapati ayam dipercayai mati sebelum proses sembelihan dilakukan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pemeriksaan awal mendapati premis itu menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dengan kadar voltan dipercayai terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta.

“Siasatan awal mendapati premis itu menggunakan kaedah stunning (dan) ayam didapati mati sebelum disembelih. Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal produk ayam diproses yang kini menjadi fokus utama siasatan pihak berkuasa.

Salehuddin berkata, siasatan di premis itu tengah malam tadi diketuai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Siasatan awal turut mendapati pusat penyembelihan yang beroperasi sejak 2004 itu dipercayai dimiliki individu beragama Islam dan membekalkan ayam diproses kepada restoran milik umat Islam.

“Perbuatan mematikan ayam sebelum disembelih adalah perbuatan amat tidak bertanggungjawab. Kita akan pastikan tindakan tegas diambil. Syarikat telah beroperasi lebih 20 tahun, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan mengapa mereka begitu mudah memperdayakan orang Islam,” katanya.

Susulan dapatan itu, pihak berkuasa mengarahkan premis berkenaan ditutup selama dua minggu di bawah peruntukan kesihatan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Salehuddin turut menggesa pemilik restoran yang menerima bekalan daripada syarikat berkenaan supaya menghentikan penggunaan produk ayamnya serta-merta dan melaporkan sebarang maklumat meragukan kepada JAIS, JAKIM atau polis.

“Saya juga menyeru umat Islam serta pemilik restoran dan pengusaha makanan apabila mendapatkan bekalan ayam, semak dari mana sumbernya kerana mereka perlu memastikan makanan halal untuk umat Islam,” katanya.

Terdahulu, JAIS merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top