Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KALAM DAIE CUNGKIL BAKAT PENDAKWAH MUDA DI MAHRAJAN MAHABBATUL ILMI 2026

DALAM NEGARA

KALAM DAIE CUNGKIL BAKAT PENDAKWAH MUDA DI MAHRAJAN MAHABBATUL ILMI 2026

Pertandingan Kalam Daie menjadi tumpuan hari kedua Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 di UniKL MICET, Melaka dengan mengetengahkan bakat generasi pendakwah muda menerusi kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan penyampaian dakwah secara kreatif.

 

ALOR GAJAH: Pertandingan Kalam Daie menjadi tumpuan hari kedua Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET), Melaka, hari ini sebagai platform mencungkil bakat serta memperkasa kemahiran komunikasi generasi pendakwah muda.

Pertandingan yang melibatkan penyertaan peringkat universiti dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) itu mengetengahkan kebolehan peserta menyampaikan mesej dakwah secara kreatif, selain mengasah keyakinan diri dan keberanian berkomunikasi di hadapan khalayak.

Acara dimulakan dengan pertandingan Kalam Daie antara universiti di Dewan Lestari pada sebelah pagi, sebelum diteruskan dengan Kalam Daie Junior yang melibatkan pelajar MRSM di Dewan Kuliah 2 pada sebelah petang.

Kedua-dua pertandingan turut disusuli dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Terdahulu, pengisian hari kedua dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu bertajuk Daie: Pelindung Ummah yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS) merangkap Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim.

Kemuncak acara pada sebelah malam pula bakal menyaksikan pertandingan dan persembahan nasyid yang menyediakan ruang kepada peserta mengetengahkan bakat seni berteraskan Islam.

Penganjuran Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 bertemakan Huffaz Cemerlang, TVET Gemilang itu memberi penekanan kepada pembangunan generasi muda yang menguasai ilmu al-Quran di samping memiliki kemahiran komunikasi dan kepimpinan.

Program anjuran UniKL yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November itu turut menggabungkan pelbagai aktiviti keilmuan dan pertandingan sebagai usaha memperkasa potensi generasi huffaz dalam bidang pendidikan serta kemahiran. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top