Connect with us

ALHIJRAH NEWS

UNIKL PERKUKUH EKOSISTEM HUFFAZ TEKNOLOGIS MELALUI KERJASAMA ANTARABANGSA

DALAM NEGARA

UNIKL PERKUKUH EKOSISTEM HUFFAZ TEKNOLOGIS MELALUI KERJASAMA ANTARABANGSA

UniKL memperkukuh ekosistem huffaz teknologis menerusi kerjasama antarabangsa dengan Universiti Umm Al-Qura, Mekah serta peluncuran CITec, buku panduan dan aplikasi MyHuffaz sempena penutupan Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026.

ALOR GAJAH: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memperkukuh usaha melahirkan generasi huffaz berkemahiran teknologi menerusi peluncuran beberapa inisiatif baharu dan kerjasama antarabangsa sempena majlis penutupan Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 di UniKL Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET), Melaka pada 2 November.

Antara inisiatif utama yang diluncurkan ialah Centre for Islamic Technology and Civilization (CITec), Buku Panduan Huffaz Technologist & Modal Sahsiah serta aplikasi mudah alih Huffaz Technologist (MyHuffaz) Fasa Pertama.

Peluncuran itu merupakan sebahagian daripada usaha UniKL memperkukuh ekosistem pendidikan tahfiz dengan mengintegrasikan penguasaan ilmu al-Quran dan kemahiran teknologi dalam pembangunan generasi huffaz.

Majlis penutupan yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniKL dengan Iqra’ Arabiya, Universiti Umm Al-Qura, Mekah.

Selain memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, program itu turut mengetengahkan peluang pendidikan berterusan menerusi penyerahan simbolik kerjasama bagi Program Latihan Sepanjang Hayat (PSH) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz UniKL.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ceramah khas bertajuk Menyingkap Makna Al-Quran melalui Bahasa Arab yang disampaikan oleh pakar Tafsir, Ulumul Quran dan Bahasa Arab dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada juri jemputan dan hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang penganjuran program berkenaan.

Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober lalu mengangkat tema Huffaz Cemerlang, TVET Gemilang dengan memberi penekanan kepada pembangunan generasi huffaz yang menguasai ilmu al-Quran serta memiliki kemahiran teknikal dan teknologi.

Penganjuran itu sekali gus memperlihatkan hala tuju UniKL dalam memperluas peluang pendidikan, memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan membangunkan ekosistem huffaz teknologis secara berterusan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top