
KUALA TERENGGANU: Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai emas di Batu Enam, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi selepas dimaklumkan dua lelaki bersenjatakan parang memasuki premis berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berjaya melarikan tiga dulang mengandungi pelbagai jenis barang kemas dalam tempoh tidak sampai satu minit.
“Ketika kejadian, terdapat empat pekerja sedang bertugas. Namun, jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan.
“Suspek dipercayai melarikan diri dengan kereta dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zaki berkata, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 50 saat memaparkan dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang memasuki serta menyamun sebuah kedai emas. — AlHijrah Online