
PUTRAJAYA: Pernah berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Aden sebelum menumpukan kehidupannya kepada pengajian hadis dan pemeliharaan sanad keilmuan Islam, Syeikh Dr Yasir al-‘Adeni as-Syahiri dari Yaman bakal menjadi antara ulama antarabangsa yang hadir ke Masjid Putra bermula 13 hingga 23 November ini.
Kehadiran beliau bersempena Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 membuka peluang kepada masyarakat untuk mendekati seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang hadis, akidah dan pendidikan Islam.
Dilahirkan pada 1972 di Qaryah al-Kud, Wilayah Abyan, Yaman, tokoh yang turut dikenali sebagai al-Musnid itu memulakan pengajian agama di bawah bimbingan Mufti Abyan, Syeikh Ahmad Muhammad ‘Az’azi.
Perjalanan keilmuannya kemudian diteruskan di Jami‘ah Dar al-‘Ulum as-Syar‘iyyah, Hudaydah, selain berguru dengan ramai ulama di Zabid, Hadramaut dan Sanaa.
Beliau memiliki kelulusan Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Aden serta dua ijazah doktor falsafah dalam bidang Hadis dan Ulumnya serta Akidah dari Sudan.
Antara tokoh yang menjadi gurunya ialah al-Habib Umar bin Hafiz, al-Habib Salim as-Syatiri dan Syeikh Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
Pengalaman beliau turut merangkumi perkhidmatan sebagai pembimbing agama di Kementerian Wakaf Yaman dan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi.
Bagaimanapun, sumbangan penting beliau dalam pendidikan Islam terserlah menerusi penubuhan Dar al-Hadith li al-Irth an-Nabawi dan Kulliyat Tarim al-Ghanna’ li al-‘Ulum al-Insaniyyah di Tarim, Hadramaut.
Kedua-dua institusi itu memberikan penekanan kepada pengajian ilmu Islam termasuk pemeliharaan tradisi sanad yang menghubungkan generasi penuntut ilmu dengan ulama terdahulu.
Pada 2019, beliau mengendalikan pengajian hadis yang menghimpunkan lebih 300 pelajar di Tarim, melibatkan riwayat daripada Sahih al-Bukhari, Jami’ al-Tirmizi, Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Darimi.
Hubungan keilmuannya juga merentasi Asia Tenggara apabila beliau menjalinkan kerjasama pendidikan dengan sebuah institusi pengajian Islam di Malaysia pada Mac 2022 bagi memperkukuh pengajian ilmu agama.
Selain aktif mengajar, beliau menghasilkan beberapa karya berkaitan sanad hadis, antaranya as-Sanad al-Yamani, at-Turuq al-Mardiyyah ila Asanid al-Arba‘in an-Nawawiyyah dan at-Tariq ad-Dani ila as-Sanad al-‘Ali.
Kepakaran tersebut menjadikan kehadiran beliau ke Putrajaya satu peluang kepada masyarakat untuk mengenali tradisi periwayatan hadis secara lebih dekat, khususnya kepentingan sanad dalam memastikan ketulenan penyampaian ilmu Rasulullah SAW.
Orang ramai turut berpeluang mengikuti pengajian dua karya Imam al-Tirmizi sepanjang 11 hari penganjuran majlis berkenaan. — AlHijrah Online.