OPERASI UNIT CEGAH JENAYAH ALAM SEKITAR (UCJAS) BERMULA OKTOBER

Penilaian tahap pencemaran di Sungai Gong, Rawang oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS)

PUTRAJAYA: Jenayah melibatkan alam sekitar termasuk pencemaran yang semakin berleluasa di negara ini dijangka mampu ditangani melalui penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS). Unit berkenaan dinaungi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri KDN.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain kementeriannya, UCJAS turut membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Biokeselamatan (JBK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sidang media Tuan Ibrahim di Putrajaya hari ini.
Sumber imej: Facebook Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

PDRM katanya diberi kuasa untuk mengambil tindakan kepada pesalah jenayah alam sekitar.

“Kami bersetuju bagi membolehkan dan memberi kuasa kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera ke atas penjenayah-penjenayah alam sekitar yang didapati bersalah bagi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, dan Akta Biokeselamatan 2007.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Menteri Alam Sekitar dan Air

“Antara elemen yang diambil kira di dalam UCJAS ini antaranya adalah isu kompaun, penggantungan kilang serta meningkatkan kadar denda dan unit khas ini dijangka akan mula beroperasi awal Oktober depan.”

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Menteri Alam Sekitar dan Air

Tuan Ibrahim ditemui media selepas Mesyuarat Khas KASA dengan KDN di Putrajaya siang tadi.

Jelasnya, kesalahan yang merupakan jenis jenayah terancang dan beliau berharap dengan adanya PDRM, peratusan masalah pencemaran di dalam negara dapat diturunkan.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan terkini bagi isu pencemaran air di Sungai Gong, Rawang, Tuan Ibrahim menjelaskan kertas siasatan oleh JAS dan SPAN telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu lalu. – AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply