PALESTIN, ISU KESELAMATAN MAKANAN AGENDA UTAMA MESYUARAT LIGA ARAB DI ALGERIA

Sumber gambar: AFP

ALGIERS: Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul-Gheit pada Sabtu berkata isu Palestin dan keselamatan makanan akan menjadi agenda utama ketika Sidang Kemuncak Liga Arab yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Nov lapor Xinhua.

Dalam ucapan pembukaan pada prosiding persediaan mesyuarat Menteri-menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Liga Arab, Aboul-Gheit menggesa Palestin melaksanakan Deklarasi Algiers yang ditandatangani dua minggu lalu di Algiers dalam usaha mencapai perdamaian sebenar

Beliau berkata sidang kemuncak Liga Arab di Algiers sepatutnya menjadi peristiwa penting bagi kerjasama antara rantau Arab yang serba baharu. 

Memandangkan agenda utama sidang kemuncak itu termasuk perbincangan menangani krisis makanan global dan serantau, Aboul-Gheit menyeru agar langkah dan strategi konkrit diguna pakai bagi mencapai dan meningkatkan produktiviti.

Algeria pada Sabtu mengambil alih jawatan presiden Majlis Menteri-menteri Luar Arab dari Tunisia sebagai persediaan bagi Sidang Kemuncak Liga Arab yang bakal berlangsung di Algiers pada 1 dan 2 Nov.

Menteri Luar Tunisia Othman Jerandi secara simbolik menyerahkan jawatan presiden Majlis Menteri-menteri Luar Arab kepada rakan sejawatannya dari Algeria Ramtane Lamamra. –AlHijrah Online

Leave a Reply