TAWAU: Polis menahan pasangan warga asing yang disyaki mendera seorang bayi perempuan berusia dua bulan di Batu 8, Jalan Apas di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Wilynton Enchana Watt dalam kenyataan berkata kes itu terbongkar selepas seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau membuat laporan polis berhubung kecederaan dialami bayi berkenaan.
Beliau berkata mangsa dibawa mendapatkan rawatan oleh pasangan terbabit bersama neneknya, dengan kedua-dua suspek pada awalnya mendakwa bayi itu terjatuh.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan lebam pada dahi kiri, kesan gigitan pada pipi kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala.
“Doktor kemudian dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek sebelum laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.
Wilynton berkata susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia 30-an dan 18 tahun itu di pekarangan Hospital Tawau pada 11.45 malam.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan atau penderaan terhadap kanak-kanak serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, khususnya petugas Hospital Tawau atas tindakan pantas mengesan kecederaan mangsa dan menyalurkan maklumat kepada polis hingga membolehkan siasatan segera dijalankan.–BERNAMA