PDRM SIAP SEDIA HADAPI PRU15 DALAM MASA TERDEKAT

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin, Batu Uban hari ini.

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa membuat persediaan rapi dari segi sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata justeru, pasukannya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

“Untuk PRU15 sekarang ini nampaknya sedang hangat diperkatakan dan seperti mana tahun terdahulu, PDRM dah buat persiapan rapi dari pelbagai sumber terutama manusia dan aset-aset bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya itu.

“Insya-Allah dengan persiapan kita laksanakan dan aturkan, pilihan raya akan berjalan lancar, tenteram dan aman. Kalau PRU15 dalam masa terdekat kami pihak polis sedia berkhidmat jadi kita sentiasa siap sedia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pulau Pinang Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pangkalan Polis Marin Batu Uban, di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Pada 30 Sept lepas, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.-AlHijrah Online

Leave a Reply