PEMBATALAN DARURAT DIBUAT TANPA PERKENAN AGONG – ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan yang telah dimasyhurkan oleh baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaaan Persekutuan secara jelas memperuntukkkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataannya hari ini.

Jelasnya Al-Sultan Abdullah sedia maklum akan perlunya baginda untuk bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun baginda menzahirkan pandangan bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang perkara yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak.

Baginda dalam pada itu berharap Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi pelbagai pihak akibat pandemik COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply