PEMILIK BENGKEL MAUT, PEKERJA CEDERA DALAM KEBAKARAN

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik bengkel kenderaan maut manakala pekerjanya cedera dalam kebakaran di sebuah bengkel di Taman Mutiara Rini, Skudai dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, lelaki berusia 41 tahun berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk tindakan lanjut.
“Pekerjanya pula, juga lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian kaki dan dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.13 malam.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah bengkel jenis kekal dengan kesan kebakaran memusnahkan 60 peratus daripada keseluruhan premis.
“Ketika kejadian, berlaku letupan dan kesan letupan itu mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap tiga rumah yang berada pada jarak kira-kira 30 meter dari bengkel berkenaan disebabkan gegaran,” katanya.
Beliau berkata kesan letupan turut mengakibatkan dua mangsa melecur termasuk seorang maut dan mereka dihantar ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
“Semasa kejadian, bengkel sedang beroperasi dan kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja kimpalan,” katanya.
Mohd Faiz berkata punca dan anggaran kerugian sedang disiasat manakala operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.39 malam. — AlHijrah Online