Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PENGENDALI MEDIA SOSIAL DIBERI MASA SELESAIKAN KANDUNGAN SCAM DAN JUDI

DALAM NEGARA

PENGENDALI MEDIA SOSIAL DIBERI MASA SELESAIKAN KANDUNGAN SCAM DAN JUDI

Pengendali platform media sosial diberi tempoh untuk menyelaraskan mekanisme dalaman masing-masing bagi membolehkan kandungan berisiko seperti penipuan dan judi dalam talian diturunkan secara automatik.

PUTRAJAYA: Pengendali platform media sosial diberi tempoh untuk menyelaraskan mekanisme dalaman masing-masing bagi membolehkan kandungan berisiko seperti penipuan dan judi dalam talian diturunkan secara automatik.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pengendali platform terbabit telah menyatakan kesediaan mematuhi keperluan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

“Melalui ONSA, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan apa disebut sebagai CPC dan RMC. Dua kod ini akan diguna pakai untuk pastikan platform-platform mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dalam talian termasuk mengenai kandungan scam dan judi dalam talian.

“Kita beri platform-platform ini sedikit masa. Mereka telah menyatakan kesediaan untuk mematuhi tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk penyelarasan mekanisme dalaman untuk menjadikan proses secara automatik untuk menurunkan kandungan yang dikenal pasti ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Keperluan menurunkan kandungan berbahaya secara automatik penting berikutan peningkatan permohonan penurunan kandungan oleh MCMC, khususnya membabitkan judi dalam talian dan penipuan.

“Memang tidak boleh dinafikan jumlah permohonan untuk penurunan yang dibuat oleh pihak MCMC kepada platform khusus berkenaan kandungan judi dalam talian dan juga scam melebihi apa yang dimohon pada tahun lepas,” katanya.

Setiap permohonan penurunan kandungan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk diselesaikan, sekali gus memberi kesan kepada penggunaan sumber dan tenaga kerja MCMC.

“Setiap satu kandungan memerlukan lebih kurang 30 minit tugasan daripada petugas MCMC. Maka jumlah masa diperlukan untuk jumlah permohonan yang begitu banyak sudah pasti mengakibatkan petugas MCMC membazir banyak masa untuk memfailkan semua dokumen diperlukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di bawah Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan libat urus bersama pengendali media sosial bagi menangani penyebaran kandungan berkaitan tingkah laku bunuh diri.

“Perbincangan meja bulat tersebut telah memberi tumpuan kepada amalan pelaporan yang beretika, penyampaian maklumat bertanggungjawab, serta kerjasama lebih erat dalam kalangan pelbagai pihak dalam usaha mencegah tingkah laku bunuh diri.

“Pada masa sama, Jemaah Menteri juga mengambil maklum bahawa pihak NCEMH di bawah KKM serta CMCF perlu mengadakan libat urus lebih rapi dan mendalam bersama platform-platform media sosial,” katanya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading