PENGUSAHA TASKA DERA KANAK-KANAK DIBERI NOTIS, DIARAH TUTUP TASKA SEMENTARA

KUALA LUMPUR: Pengusaha taska yang tular kerana disyaki terlibat kes dera kanak-kanak di bawah jagaannya telah diberi notis peringatan selain arahan penutupan sementara premis itu.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, notis tersebut dikeluarkan bagi tujuan membuat penambahbaikan dengan kadar segera selain bertujuan menyediakan persekitaran selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di taska itu.
KPWKM menerusi kenyataan itu memandang serius berkenaan isu tular yang mendakwa berlakunya kes penderaan kanak-kanak di sebuah TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Dalam pengurusan taska, bidang kuasa JKM adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 iaitu membuat pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas taska.
“Hasil pemeriksaan JKM pada 29 Mac 2023, didapati telah berlaku ketidakpatuhan kepada Akta TASKA 1984,” menurut kenyataan tersebut.
KPWKM menjelaskan, dalam isu keselamatan kanak-kanak, kementerian itu melalui JKM merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka.
Ia juga menjadi tanggungjawab pengusaha taska untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska.
“Sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis perlu dibuat.
“Dalam isu taska yang tular ini, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Semua pihak terutama ibu bapa diminta melaporkan sebarang isu berkaitan kanak–kanak kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau menghubungi Talian Kasih di nombor 15999 dan aplikasi WhatsApp 019–2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau terus mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat.–AlHijrah Online