
KAJANG: Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan polis semalam, bagi membantu siasatan berhubung perbuatan khianat dengan menendang sebuah kereta di kaunter bayaran Tol Kajang Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata, suspek yang merupakan pekerja swasta berusia 24 tahun itu ditahan di sekitar Kajang.
Katanya kejadian dipercayai berlaku pada Ahad jam 4 petang.
“Polis menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang pemandu e-hailing berusia 65 tahun yang memandu Proton Saga ketika kejadian.
“Akibat daripada kejadian berkenaan, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu tular video memaparkan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta sambil dilihat memarahi pemandu kereta itu di Tol Kajang LEKAS.—AlHijrah Online