PERAK AKTIFKAN SEMULA PUSAT KUARANTIN COVID-19

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan mengatifkan semula pusat kuarantin di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai berikutan peningkatan kes positif jangkitan wabak COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat kuarantin yang mempunyai kapasiti 90 katil dijangka mula beroperasi Sabtu ini tertakluk kepada nasihat Jabatan Kesihatan Negeri. 

Ujar Ahmad Faizal, selain ILSM dua hotel di bandar raya Ipoh dengan kapasiti 128 bilik juga masih aktif sebagai pusat kuarantin untuk kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Perak. 

“Walaupun keadaan wabak di negeri itu masih terkawal, namun kerajaan Perak komited dan berusaha untuk meminimumkan risiko penularan.

“Kita percaya langkah-langkah kawalan seperti mengaktifkan pusat kuarantin akan membantu mengurangkan risiko penularan dengan memastikan individu berisiko dikuarantinkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga telah meletakkan lima lagi pusat kuarantin dalam status bersiap sedia sekiranya diperlukan.

“Lima pusat tersebut ialah Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), Institut Latihan Pegawai Awam Perak (ILPA), Teknologi Pendidikan Negeri Perak (TPNP) di Ipoh, Institut Latihan Perindustrian Tanah dan Ukur Negara (Instun) di Tanjung Malim serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru.

“Kelima-lima pusat kuarantin ini sedia untuk diaktifkan sekiranya diperlukan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya.

Setakat semalam, lapan kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Perak hasil saringan individu di Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Kinta. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply