PERSEDIAAN MENYAMBUT CALON SPM, BOMBA SANITASI DEWAN DAN BILIK PEPERIKSAAN

JOHOR BAHRU: Sebanyak 288 buah sekolah menengah seluruh Johor menjalani proses sanitasi dan disinfeksi sebagai persediaan menyambut calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, proses tersebut melibatkan dewan sekolah dan bilik darjah yang digunakan bagi pelaksanaan peperiksaan berikut.

Tambahnya, pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) serta guru-guru sekolah turut bersama dalam proses tersebut.

“Kita mahu pastikan pelajar berada dalam keadaan selamat selepas tempat ini telah disanitasi.

“Keluarga pelajar pun rasa yakin untuk anak mereka datang bagi menjawab kertas peperiksaan SPM,” katanya selepas proses sanitasi yang dijalankan di SMK Majidee Baru 2, Kangkar Tebrau.

Ujarnya, proses sanitasi telah berjalan sejak dua hari lalu dan pihak bomba turut melakukan sanitasi semula sekiranya terdapat kes positif COVID-19 di sekolah.

JPBM Johor telah melakukan proses sanitasi di 210 buah sekolah seluruh Johor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.—AlHijrah Online

Leave a Reply