KUALA LUMPUR: Tular di media sosial status dimuat naik individu yang mahu menggenapkan puasa 30 hari meskipun tarikh 1 Syawal telah ditetapkan.
Dalam hantaran tersebut, individu itu memaklumkan hilal Syawal semalam dilihat menggunakan teleskop berkuasa tinggi, bukan dengan mata kasar manusia.
“Alhamdulillah. Kami genapkan 30 hari dengan yakin.
“PD, Perlis nampak dengan mata teleskop berkuasa tinggi, bukan dengan mata kasar manusia,” tulisnya.
Hantaran tersebut dipercayai dimuat naik pada malam Selasa kira-kira jam 10.47 malam, beberapa jam selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri pada 10 April 2024 selepas berpuasa selama 29 hari.
Kandungan di media sosial yang mengelirukan itu dikongsi lebih 4,000 orang dengan kebanyakan warga net tidak bersetuju dengan status tersebut.
“Mula dah mahu mengelirukan umat Islam. Kita patut serah kepada pihak yang berkuasa dan pakar dalam hal ini,” komen Amer Azmil.
“Urusan menetapkan kalendar Islam adalah tanggungjawab pemerintah, bukan individu,” kata Wan Hilmie.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), memuat naik hantaran berkaitan hukum berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri.
“Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dan pada hari hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah,” kata JAKIM. — AlHijrah Online