PM ARAH TAMBAH VAKSIN SEHINGGA 70 PERATUS

MUAR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan untuk segera menambah bekalan vaksin COVID-19 sehingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negara.
Ia susulan bekalan vaksin yang bakal diperoleh setakat ini adalah sebanyak 12.8 juta dos, daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 6.4 juta rakyat Malaysia.
“Saya sudah arahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, untuk berunding dan dapatkan bekalan vaksin sehingga 60 atau 70 peratus daripada jumlah populasi rakyat kita.
“Buat masa sekarang, Malaysia sudah dapatkan 30 peratus vaksin COVID-19, namun bagi saya ia tidak mencukupi,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Deepavali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, hari ini.
Tambah Muhyiddin, ada negara yang penduduknya tidak ramai, tetapi membeli sehingga 200 peratus vaksin COVID-19 antaranya negara Kanada.
Bagaimanapun, bekalan vaksin COVID-19 yang dijangka tiba pada Mac ini telahpun diarahkan untuk menghantar lebih awal ke Malaysia bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.
“Saya tak mahu rakyat marah, jadi saya sudah pesan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya memaklumkan pembekal vaksin supaya hantar lebih awal,” katanya.
Malaysia sehingga kini sudah membelanjakan lebih RM2 bilion daripada jumlah RM3 bilion yang diperuntukkan untuk membeli 30 peratus vaksin untuk negara.—AlHijrah Online